Jom Klik Sini

Terima Kasih

Thursday, January 27, 2011

Cerita Anak Soleh & Ibu Derhaka..??

Sebagai anak yang ingin berbakti kepada orang tua, Husin mengajak ibunya Saadiah menunaikan rukun Islam ke 5.  Si ibu senang sekali dengan ajakan itu, apatah lagi kerana mereka memang berkemampuan dari segi fizikal dan mental.  Pada hari melakukan tawaf di tanah suci, mereka antara yang begitu gembira menghadap Kaabah.


"Lihatlah Kaabah, ibu."  bisik Husin ke telinga ibunya, sambil memandang ke arah bangunan empat persegi berwarna hitam di hadapan mereka.  Saadiah yang berjalan di sisi anaknya hanya diam, tidak menunjukkan reaksi apa-apa.


Husin berbisik lagi ke telinga ibunya tetapi ibunya menunjukkan reaksi serupa menyebabkan Husin jadi bingung.  Si ibu itu sebenarnya tidak nampak apa-apa, selain kegelapan di depannya.  Beberapa kali dia mengusap mata, tetapi dia masih melihat pandangan gelap.  Anehnya dia tidak mempunyai masalah penglihatan sebelum ini.  Hanya selepas memasuki Masjidil Haram, tiba-tiba pandangannya hitam.



(google)
Husin sedih melihat keadaan yang menimpa ibunya.  Datang ke Baitullah tanpa boleh melihat rumah Allah itu, tentunya itu suatu kehampaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.  Namun dia tidak berkecil hati.  Tahun berikutnya, sekali lagi dia membawa si ibu ke tanah suci.  Sekali lagi kejadian sama berulang.  Husin tidak berputus asa juga.  Tahun berikutnya dia membawa ibunya lagi ke tanah suci dan begitulah berulang-ulang dilakukannya selama tujuh tahun berturut-turut tetapi setiap kali di depan Kaabah, pandangan ibunya seakan-akan dibutakan.


BERTERUS TERANGLAH

Keanehan ini sukar dijelaskan dengan akal waras kerana setiap kali jauh dari Kaabah, penglihatan Saadiah normal semula.  Ini membuatkan Husin tertanya-tanya, adakah ibunya mempunyai kesalahan sehingga mendapat azab?  Akhirnya dia memutuskan untuk mencari seorang ulama bagi menghuraikan kemusykilannya.


Dia menemui seorang ulama yang masyhur yang khabarnya banyak membantu orang ramai.  Ulama itu berpesan menyuruh ibu Husin menghubunginya sendiri.  Pesanan itu disampaikan pada Saadiah dan Saadiah pun menghubungi ulama berkenaan menceritakan kejadian yang menimpanya di tanah suci.

Ulama itu kemudian meminta Saadiah bersikap terbuka, cuba mengingati apa-apa sahaja yang pernah dilakukannya dahulu, yang memungkinkannya terhijab daripada rahmat Allah.

"Berterus teranglah kepada saya, masalah puan ini nampaknya tidak mudah," kata ulama itu kepada Saadiah.  Saadiah bersetuju dan berjanji akan menghubunginya semula.  Selepas minggu kedua, barulah Saadiah menghubungi ulama tersebut.


Katanya, "Ustaz, sewaktu muda,  saya pernah bekerja sebagai jururawat."

"Bagus! Itu kerja yang mulia,"  komen ulama itu.

"Tapi saya mencari banyak wang dengan pelbagai cara.  Saya tak peduli, adakah cara itu halal atau haram,"  ujarnya, terus terang.  "Di sana," sambung Saadiah, "Saya selalu menukarkan bayi, kerana tidak semua ibu senang dengan bayi yang mereka lahirkan.  Kalau ada yang inginkan anak lelaki tapi lahir anak perempuan, mereka berikan saya wang untuk tukarkan bayi itu."


MINTA PERTOLONGAN ALLAH

Ulama itu terperanjat mendengar pengakuan Saadiah.  Terfikir dia, betapa Saadiah telah merosakkan banyak keluarga sehingga tidak jelas nasab mereka.  Sedangkan nasab sesuatu hal yang sangat dipentingkan dalam perkahwinan.


"Itu saja yang saya lakukan."  Ucap Saadiah.  "Tahukah puan bahawa perbuatan itu dosa yang luar biasa.  Betapa banyak keluarga yang sudah puan hancurkan!  Ada lagi yang puan buat?"  Balas ulama itu dengan nada kesal.


"Di rumah sakit, saya juga melakukan tugas memandikan jenazah,"  kata Saadiah.  "Bagus, itu juga kerja mulia,"  kata ulama itu.


"Tapi saya memandikan jenazah kerana bekerjasama dengan tukang sihir.  Apabila saya bermaksud untuk menyakitkan orang, sama ada membuatnya mati atau sakit, segala perkakas sihir itu harus ditanam dalam tanah.  Tapi saya tidak menanamnya dalam tanah.  Saya masukkan benda-benda itu ke dalam mulut si mati.  Suatu ketika, seorang alim meninggal dunia, seperti biasa saya sumbat barang kotor seperti jarum, benang dan lain-lain ke dalam mulutnya tapi barang itu keluar semula.  Saya cuba berulang-ulang sehingga hilang sabar.  Lalu saya masukkan benda itu dan jahit mulutnya.  Cuma itu dosa yang saya lakukan."



(google)


"MasyaAllah! Saya tak dapat bantu puan.  Mohon ampun dari Allah, hanya Dia yang boleh membantu puan."  Ulama itu terkejut besar dan sukar membayangkan ada manusia apatah lagi wanita yang sedemikian keji perangainya.


Tujuh hari lamanya ulama itu tidak mendengar berita daripada Saadiah.  Beliau kemudian menelefon wanita itu dengan harapan wanita itu sudah bertaubat.  Kebetulan Husin mengangkat telefon dan memaklumkan bahawa ibunya jatuh sakit dan meninggal dunia dua hari selepas dia bercakap dengan ulama berkenaan.


Husin juga menceritakan peristiwa yang mengejutkan pada hari pengkebumian ibunya.  Apabila tanah digali dan jenazah sedia untuk dimasukkan, tanah itu kembali tertutup rapat, tertutup dan mengeras.  Kejadian sama berulang di beberapa lokasi lain sehingga penggali kubur putus asa kerana kerja mereka tidak selesai. 


Akhirnya mereka pulang dan membiarkan sahaja jenazah di atas tanah.


JANGAN KAU MENOLEH


Sebagai anak, Husin sama sekali tidak meninggalkan jenazah ibunya tanpa dikuburkan.  Dia termenung seorang diri di sana dan ditegur seorang lelaki berjubah hitam yang tidak dikenalinya.  Lelaki itu meminta izin untuk menguruskan jenazah Saadiah dan menyuruh Husin pulang.  "Jangan sesekali kamu menoleh sehingga kamu sampai ke rumah."  pesan lelaki itu.


Belum sempat Husin keluar dari kawasan tanah perkuburan, terdetik keinginannya untuk menoleh.  Sebaik-baik sahaja menoleh, wajahnya pucat kerana melihat mayat ibunya berselubung api.  Dalam sedetik itu juga, dari arah bertentangan, api datang menyambar muka Husin, menyebabkan dia ketakutan dan lari lintang pukang.


Itulah yang diceritakan Husin kepada ulama berkenaan sambil mengaku bahawa separuh wajahnya hitam terbakar dalam kejadian itu.  Ulama itu mendengar dengan tenang dan menyarankan Husin membanyakkan ibadah dan memohon ampun atas segala perbuatan atau dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh ibunya.


Bagaimanapun dia tidak menceritakan pengakuan yang dibuat oleh ibu Husin padanya sebelum ini.  Sebaliknya dia meyakinkan Husin bahawa apabila anak yang soleh memohon ampun dengan sungguh-sungguh, maka bekas luka di pipinya akan hilang dengan izin Allah.


Tidak berapa lama kemudian, Husin kembali menghubungi ulama itu dan memaklumkan bahawa lukanya yang dulu amat menyakitkan dan panas luar biasa, semakin pulih dan kesan hitam terbakar itu juga semakin pudar.  Si anak tetap tidak tahu kisah silam ibunya tetapi dia tidak pernah lupa untuk mendoakan si ibu agar segala dosa si ibu diampunkan oleh Yang Kuasa.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...